Kebersihan Tempat Awam Tanggungjawab Siapa ?

 

Seiring dengan pembangunan pesat yang dijalankan di negara ini sejak satu dasawarsa dahulu, negara kita telah menghadapi pelbagai masalah dan halangan dalam usaha menuju ke Wawasan 2020 yang diidam-idamkan. Selama ini, masalah kebersihan awam telah berakar umbi di negara ini serta menjadi semakin kronik belakangan ini. Masalah sosial tersebut tidak seharusnya dipandang enteng memandangkan isu tersebut berkait rapat dengan kesihatan rakyat negara ini. Sebab-sebab berlakunya pengabaian kebersihan awam hendaklah dikenal pasti supaya langkah-langkah pencegahan dapat diambil demi kesejahteraan hidup sejagat.

 

            Pada hemat saya, faktor utama yang menyebabkan rakyat negara ini kurang prihatin terhadap kebersihan awam ialah sikap mementingkan sendiri yang sekian lama meracuni sanubari mereka selama ini. Kebanyakan ahli masyarakat kita mementingkan kebersihan semasa berada di rumah. Ahli-ahli keluarga, khususnya golongan suri rumah tangga telah memikul tugas masing-masing dalam kerja pembersihan dan pemeliharaan alam di sekeliling rumah. Walau bagaimanapun, apabila mereka berada di tempat awam, sikap mereka telah berubah seratus lapan puluh darjah, yakni mereka mengambil sikap acuh tak acuh terhadap kebersihan di tempat-tempat awam. Sebahagian besar rakyat negara ini dikatakan tidak berrtimbang rasa apabila mereka membuang sampah sarap sewenang-wenangnya di serata tempat, seperti di pusat beli-belah, taman rekreasi dan stesen bas. Mereka menganggap bahawa kebersihan di tempat-tempat awam tersebut bukanlah tanggungjawab bersama mereka untuk memeliharanya. Sering kali, Majlis Perbandaran yang dikatakan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas penjagaan kebersihan awam. Sikap mereka samalah bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dan telah memburukkan keadaan kebersihan negara ini.

 

            Sementelahan itu, ketiadaan kesedaran sivik di kalangan rakyat negara ini juga menyebabkan kebanyakan ahli masyarakat mengabaikan kebersihan di tempat awam. Dalam minda mereka, sikap mementingkan kebersihan hanya perlu diamalkan di dalm rumah sendiri sahaja. Kebersihan di tempat awam tidak diberikan perhatian yang penuh kerana mereka beranggapan bahawa bersih atau kotornya tempat awam tidak ada kena-mengena dengan kesihatan dan keharmonian hidup mereka. Memandangkan masa mereka berada di dalam rumah lazimnya lebih panjang daripada berada di tempat awam, mereka berpendapat bahawa mereka hanya perlu menjaga kebersihan di tempat tinggal merka sahaja. Oleh itu kebersihan di tempat awam tidak diambil kira sebagai kewajipan yang harus dipikul bersama.

 

            Sayugia diingatkan bahawa masalah kebersihan awam dapat mendatangkan kesan buruk yang tidak diingini terhadap kesihatan rakyat secara keseluruhannya, langkah-langkah yang proaktif dan efektif harus diberikan penekanan dalam usaha mengatasi masalh tersebut . Undang-undang yang berkaitan dengan isu kebersihan seperti Akta Alam Sekitar 1971 dan Akta kilang 1974 harus dikuatkuasakan bagi masalah kebersihan awam. Malahan, hukuman yang lebih berat harus dijatuhi ke atas mereka yang bersikap bena tak bena terhadap kebersihan awam. Denda wang ringgit nampaknya masih kurang berkesan untuk menyedarkan rakyat negara iniberubah sikap. Sekiranya perbuatan mencemarkan alam sekitar dan tempat awam masih diulangi, denda yang berlipat ganda harus dikenakan dan disertai dengan hukuman yang lebih tegas . Misalannya, negara Singapura telah mengusulakn banyak cadangan yang membina dalam usaha membasmi masalah kebersihan awam. Antaranya , rakyat negara ini yang ditangkap membuang sampah sarap atau puntung rokok ke atas lantai di tempat awam akan dikenakan denda yang tinggi di tempat kejadian itu juga oleh pegawai polis yang bertugas. Bagi menjaga maruah diri supaya tidak ditegur atau dikritik ole orang ramai, mereka yang bersalah sudah tidak berani untuk mengulangi perbuatan terkutuk itu di tempat awam. Maka, tidak mustahillah negara Singapura digelar Taman Bandar Raya yang terkenal dengan kebersihannya.

 

            Di samping itu, didikan agama serta pendidikan moral yang menitikberatkan kebersihan diri dan kebersihan awam harus diberikan kepada kanak-kanak sejak bangku sekolah lagi. Ibu bapa harus menunjukkan perlakuan yang baik dalam aspek kebersihan tanpa mengira di man jua kerana tingkah laku mereka akan menjadi teladanda ikutan anak-anak mereka. Di sekolah pula, guru memainkan peranan yang penting dalam memupuk nilai kebersihan dalam sanubari para pelajar . Pendidikan Moral yang menekankan pembentukan insan yang berkeperibadian mulia dan murni patut diterapkan dalam system pendidikan negara kita. Peranan media massa juga tidak dapat diketepikan memandangkan media massa seperti radio, televisyen dan suratkhabar mendatangkan pengaruh yang mendalam dalam kehidupan sehari-hari. Rancangan dan program yang dapat menyemaikan sikap rakyat menjaga kebersihan awam harus disiarkan melalui saluran media bercetak dan media elektronik dari semasa ke semasa untuk menyedarkan rakyat tentang peri pentingnya kebersihan terhadap kesihatan masyarakat. Kempen-kempen kebersihan awam seperti  Cintailah Sungai Kita dan slogan Negara Bersih Sihat patut digiatkan dan diharapkan dapat membangkitkan kesedaran masyarakat negara ini untuk memelihara kebersihan awam.

 

            Secara tuntasnya, kebersihan awam merupakan isu yang sering diperkatakan sejak belakangan ini kerana rakyat di negara ini sudah tidak betah lagi untuk menjaga kebersihan awam. Sikap individualistik dan ketiadaan kesedaran sivik telah mengakibatkan mereka mengamalkan sikap peduli tak peduli terhadap kebersihan awam. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Doktor Mahathir bin Mohamad pernah meluahkan perasaan kecewa beliau terhadap sikap rakyat negara ini yang memandang remeh terhadap kebersihan awam setelah melihat keadaan di sekeliling Bukit Bintang yang menjijikkan, ditimbuni sampah sarap yang dihinggapi lalat. Beliau telah menyarankan rakyat Malaysia supaya mengamalkan sikap mementingkan kebersihan awam dalam kehidupan sehari-hari. Kebersihan tempat awam sememangnya merupakan aspek yang amat penting untuk menjamin keharmonian hidupsejagat.Kita tentu tidak ingin generasi yang akan datang hidup dalam keadaan yang dicemari, menyedut udara yang kotor, serta minum air yang bermikroorganisma. Maka, sebelum nasi menjadi bubur, marilah sama-sama kita mempraktikkan kebersihan diri dan lebih penting lagi kebersihan awam demi kesejahteraan hidup pada hari muka!